Thursday, 12 December 2013

Indahnya bila berNETWORKING! - Misi Bantuan Kemanusiaan bersama WOC

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah swt kerana diberi kesempatan untuk saya berkongsi serba sedikit pengalaman dalam misi bantuan kemanusiaan bersama Wish Owner Club (WOC).

Perjalanan yang agak jauh dalam siraman hujan tanpa henti tidak kami rasa kepenatannya bila semangat setiakawan yang wujud dalam kumpulan begitu tinggi dalam menghulurkan bantuan buat mereka yang sangat memerlukan.

Kekuatan semangat yang wujud dari team WOC Johor juga cukup membanggakan kami semua apabila mereka sanggup mencari laluan alternatif apabila laluan yang mereka cuba tempuhi pada asalnya terputus. 

Begitulah kekuatan yang perlu wujud bila kita berkumpulan... saling bantu membantu bukan sahaja dalam meningkatkan usaha dalam perniagaan malah turut bantu membantu dalam meringankan bebanan mereka yang dalam kesusahan.


 Perjalanan bermula.....






Keadaan persekitaran sepanjang perjalanan di Kuantan, Pahang.



  
 

Suasana di penginapan sementara...







Semoga bantuan kami dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan...










Anak-anak yang turut serta dalam konvoi ini juga tak lokek memeriahkan susana rakan2 mereka yang dalam kesedihan....


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul,
Semoga tabah dalam mengharungi ujian dariNya dengan penuh kesabaran...




Ucapan penutup dan gema selawat dikalangan team WOC menamatkan kembara kami dibumi Pahang pada petang 8 December 2013 untuk pulang ke destinasi masing-masing. Semoga bantuan buat saudara-saudara kita di Pahang akan terus disalurkan bagi meringankan beban mereka untuk memulakan penghidupan...


Gambar-gambar adalah dari ahli-ahli WOC

Terima kasih juga yang tidak terhingga buat semua rakan-rakan Networking dari STG yang turut menyumbang dalam misi bantuan kemanusiaan ini. Sumbangan anda semua telah selamat sampai kepada mereka yang memerlukan....


 Secebis kenangan :




Berikut catatan daripada tulisan Presiden Kelab WOC Malaysia untuk tatapan semua.
==========================================================================



"Syukur ke Hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, kita warga WOC (Wish Owners Club , Malaysia) Berjaya dalam menyempurnakan satu lagi program amal iaitu Konvoi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir di Kuantan pada 7 – 9 Disember 2013 yang lalu.Konvoi Ini bertujuan menyampaikan sumbangan kemanusiaan yang berupa barangan keperluan dan makanan serta wang tunai kepada mangsa-mangsa banjir.

(Ini merupakan konvoi amal kedua di tahun ini selepas Konvoi Ziarah Ramadhan (KZR) pada Ogos 2013 yang lalu).


Konvoi dan misi kali ini disertai oleh 39 ahli WOC dengan kekuatan 39 unit kereta wish, ahli keluarga masing-masing serta muatan barang makanan dan keperluan di dalam kereta wish masing-masing. Ahli-ahli WOC yang menyertai misi kali ini adalah gabungan dari WOC wilayah selatan, WOC wilayah tengah dan N9 , dan juga WOC wilayah timur.

Selain barang-barang makanan dan keperluan yang disumbang oleh ahli keluarga WOC, barang kemanusiaan juga dikumpul dari sumbangan rakan taulan dan kenalan ahli-ahli WOC. Misi kali ni juga berjaya mengumpul wang tunai hasil sumbangan kilat dari warga WOC dan juga rakan taulan WOC. Dimulai dengan perlancaran konvoi dari WOC central (8.30am)dari Kuala Lumpur dan tiba di Indahpura Pekan Lake Resort (petang). Dan dalam masa yang sama (8.50am) pelancaran konvoi WOC Southern sejumlah 25 kereta wish dari Johor Bahru menuju ke Kuantan melalui Segamat dan Muadzam. Konvoi WOC Southern kemudiannya bergabung dengan beberapa ahli wish dari Segamat setibanya di bandar Segamat.

Lebih kurang pukul 2.40pm, Konvoi WOC Southern telah terkandas di Muadzam Shah kerana jalan yang bakal dilalui di pekan Nenasi ditenggelami air. Konvoi terpaksa berpatah balik dan melalui Keratong 4, Bahau dan Karak sebelum menggunakan lebuhraya LPT menuju ke Gambang dan seterusnya ke Indahpura Pekan Lake Resort. Konvoi WOC Southern selamat tiba di resort berkenaan pada 11.10 malam setelah melalui perjalanan yang meletihkan dan sejauh 680km serta selama 14 jam.

Terima kasih kepada ahli-ahli konvoi Central, N9 dan East Coast kerana sabar menanti ketibaan WOC Southern serta menguruskan hal-hal berkaitan logistic, penginapan serta penundaan serahan bantuan kemanusian ini ke hari berikutnya.

Hari Kedua, pada jam 1.30 petang (08 Disember 2013), barangan keperluan dan makanan yang di bawa oleh jentera-jentera hebat WOC telah berjaya diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Bukit Rangin, Kuantan.

Pada jam 6.00 petang (08 Disember 2013), barangan keperluan dan makanan juga berjaya diserahkan kepada mangsa di pusat pemilihan di Sekolah Rendah Pandan, Kuantan. Di sini pihak WOC juga bersetuju untuk menampung pembelian barangan basah dan barangan masakan untuk keperluan makanan harian di pusat ini yang akan dikendali dan diselia oleh beberapa wakil dari WOC wilayah timur.

Konvoi WOC Central, N9 dan Southern berangkat pulang ke destinasi masing-masing pada jam 7.30 malam.

Pada 09 Disember 2013, aktiviti amal ini diteruskan oleh pihak WOC wilayah timur dengan mengurus dan menyelia pembelian barang keperluan masakan harian bersama-sama dengan ketua atau wakil pusat pemindahan Sekolah Rendah Pandan Kuantan.

AJK WOC Pusat dengan besarhati dan bangganya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua ahli WOC yang terlibat (WOC Southern, Central, N9 dan East Coast) atas kerjasama dan komitmen tinggi saudara-saudara dalam menjayakan misi kemanusiaan kali ini. Kekentalan, kekenyalan, ketabahan dan kesanggupan saudara-saudara serta ahli keluarga WOC yang menyertai misi dan konvoi ini dengan megharungi pelbagai kesukaran sepanjang perjalanan dan lain-lain yang berkaitan adalah amatlah dipuji dan semoga Allah membalasnya dengan balasan yang tidak terhingga akan pahala dan kebaikannya.

Kepada isteri dan anak-anak WOC yang menyertai misi dan konvoi ini, kesabaran saudari dan anak-anak dalam menyokong program suami dan ayah masing-masing merupakan satu nilai sokongan dan moral yang kami hargai dan jutaan terimakasih di ucapkan serta maaf dipohon jika ianya meletihkan dan memenatkan ibu-ibu dan anak-anak kelian.

Semoga program ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita dan keluarga bahawa di luar sana ada golongan yang memerlukan bantuan . Semoga ianya juga akan memberi impak dan makna kepada ahli keluarga kita dalam mendidik dan mendedahkan mereka untuk membantu meringankan beban masyarakat atau individu yang susah dan ditimpa bencana seperti ini dan lain-lainnya.

Sekian."

(Wak Kang)
YDP Wish Owners Club, Malaysia.
9 Disember 2013

No comments:

Post a Comment